KUALA LUMPUR: Seramai 42 peratus atau 2.1 juta murid menggunakan Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) secara aktif sepanjang tahun 2023, Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata inisiatif yang disediakan secara percuma itu mengandungi pelbagai perkhidmatan, aplikasi dan kandungan yang ditambah baik secara berterusan sesuai dengan perkembangan teknologi yang terkini.

"Sumber pendidikan dalam DELIMa menyediakan pelbagai bahan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan serta dapat memperluas peluang murid untuk belajar serta meningkatkan motivasi, prestasi dan potensi yang dapat membangunkan bakat mereka secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu apakah tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkasakan pembelajaran secara digital dengan akses percuma dan terbuka sebagai persiapan menghadapi ledakan ilmu pengetahuan secara maya.

Selain itu, Wong berkata KPM turut menganjurkan aktiviti dan pertandingan TV Pusat Sumber Pendidikan (TV PSS) di peringkat negeri dan kebangsaan bagi melatih murid mengendalikan saluran televisyen digital sekolah untuk menerbitkan rancangan termasuk membuat liputan aktiviti sekolah, menulis skrip, bertindak sebagai pengacara dan krew penerbitan.

"Melalui aktiviti ini, murid dapat melaksanakan pembelajaran yang berpusatkan murid, berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif di samping mengaplikasikan sepenuhnya ciri-ciri murid fasih digital," katanya.

Beliau berkata bagi memperkasakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berteraskan teknologi, Wong berkata KPM menyediakan capaian jalur lebar Internet dengan kelajuan 30Mbps hingga 300Mbps di semua sekolah di bawah KPM sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Beliau berkata daripada segi teknologi pula, 48 peratus sekolah dilengkapi talian gentian optik, 46 peratus sekolah disediakan dengan talian jalur lebar tanpa wayar 4G, manakala enam peratus sekolah disediakan talian satelit.

"Selain itu, KPM juga mewujudkan pasukan petugas khas (task force) Pendidikan Digital untuk mempergiat dan memperkasakan pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD) bagi memastikan ekosistem pembudayaan teknologi digital dalam PdP tersedia dalam usaha melahirkan generasi fasih digital.

"KPM komited memperkasakan kualiti penyampaian perkhidmatan pendidikan berteraskan teknologi digital seiring dengan perkembangan pesat teknologi global dalam usaha melahirkan modal insan berilmu, beretika dan berdaya saing," katanya.

-- BERNAMA